Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player

 

..........................................................................................................................................................................................................................................................................
  PENYAKIT KHUSUS YANG TIDAK DILINDUNGI DALAM 120 HARI PERTAMA
..........................................................................................................................................................................................................................................................................

Penyakit-penyakit di bawah dan komplikasinya yang berkaitan dengannya adalah dikecualikan daripada perlindungan jika ia berlaku kepada Peserta dalam masa 120 hari yang pertama.

Hipertensi, diabetes mellitus dan penyakit kardiovaskular.
Semua tumor, kanser, sista, nodul, polip, batu dalam sistem kencing dan sistem biliari.
Semua penyakit telinga, hidung (termasuk sinus) dan tekak.
Hernia, hemoroid, fistula, hidrosele, varikosele
Endometriosis termasuk penyakit sistem pembiakan.
Gangguan sistem vertebra (termasuk diska) dan penyakit lutut.
..........................................................................................................................................................................................................................................................................
  PENGECUALIAN
..........................................................................................................................................................................................................................................................................
 
Kontrak ini tidak melindungi sebarang kemasukan ke hospital, pembedahan atau caj yang disebabkan secara langsung atau tidak langsung, sepenuhnya atau sebahagiannya, oleh perkara berikut :
   
1. Penyakit sedia-ada.
Bermaksud penyakit/kecacatan yang Peserta sudah mengetahui mengenai sesuatu penyakit di mana :

a) Peserta sudah menerima atau sedang menjalani rawatan
b) Nasihat perubatan, diagnosis, penjagaan atau rawatan sudah disyorkan
c) Simptom-simptom pernah atau masih ketara atau
d) Kehadiran penyakit sememangnya ketara kepada seseorang di dalam keadaan tertentu
   
2. Penyakit khusus yang berlaku dalam tempoh 120 hari pertama perlindungan yang berterusan.
   
3. Sebarang keadaan perubatan atau fizikal yang berlaku dalam tempoh 30 hari pertama perlindungan peserta atau tarikh pengembalian semula yang mana lebih awal kecuali untuk kecederaan akibat kemalangan.
   
4. Pembedahan Plastik/Kosmetik, berkhatan, pemeriksaan mata, cermin mata, lensa dan refraksi atau pembedahan pembetulan rabun jauh (Keratotomi Radial atau Lasik) dan penggunaan atau pemerolehan peralatan atau bahan prostetik luaran seperti anggota badan tiruan, sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, pemasangan perentak jantung dan preskripsi yang seumpamanya.
   
5. Keadaan pergigian termasuk rawatan pergigian atau pembedahan mulut kecuali yang perlu disebabkan oleh kecederaan akibat kemalangan pada gigi asal yang elok yang berlaku sepenuhnya semasa tempoh takaful.
   
6. Penjagaan persendirian, rawatan kerehatan atau penjagaan sanitaria, penyalahgunaan dadah, ketagihan alkohol, pemandulan, penyakit kelamin dan kesan sampingannya, AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit) atau ARC (Komplikasi berkaitan AIDS) dan penyakit berkaitan HIV, dan sebarang penyakit berjangkit yang perlu dikuarantinkan di bawah undang-undang.
   
7. Sebarang rawatan atau operasi pembedahan untuk keabnormalan atau kecacatan kongenital termasuk keadaan yang diwarisi.
   
8. Mengandung, melahirkan anak (termasuk kelahiran secara pembedahan), keguguran, menggugurkan dan penjagaan dan pembedahan sebelum melahirkan atau selepas melahirkan, kaedah kawalan kelahiran kontraseptif mekanikal atau kimia, atau rawatan berkaitan ketidaksuburan. Disfungsi erektil dan ujian atau rawatan berkaitan impoten atau pemandulan.
   
9. Dimasukkan ke hospital untuk tujuan siasatan, diagnosis, pemeriksaan sinaran-x, pemeriksaan perubatan atau fizikal am, tidak berkaitan dengan rawatan atau diagnosis penyakit yang dilindungi atau sebarang rawatan yang tidak perlu secara perubatan dan sebarang rawatan pencegahan, ubat-ubatan pencegahan atau pemeriksaan yang dibuat oleh doktor perubatan, dan rawatan khusus untuk pengurangan atau penambahan berat badan.
   
10. Bunuh diri, percubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja, semasa siuman atau tidak siuman.
   
11. Perang atau sebarang bentuk peperangan, diisytiharkan atau tidak, aktiviti jenayah atau pengganas, perkhidmatan aktif di dalam mana-mana angkatan tentera, penglibatan langsung di dalam mogok, rusuhan dan kekacauan awam atau rampasan kuasa.
   
12. Radiasi terion atau pencemaran oleh radioaktif dari sebarang bahan api nuklear atau sisa nuklear dari proses belahan nuklear atau dari sebarang bahan senjata nuklear.
   
13. Perbelanjaan ditanggung akibat pendermaan sebarang organ tubuh oleh peserta dan kos pemerolehan organ termasuk semua kos yang ditanggung oleh penderma semasa pemindahan organ dan komplikasinya.
   
14. Siasatan dan rawatan untuk gangguan tidur dan dengkur, terapi penggantian hormon dan terapi alternatif seperti rawatan, khidmat perubatan atau bekalan, termasuk tetapi tidak terhad kepada khidmat chiropraktik, akupunktur, akutekanan, refleksologi, pembetulan tulang, rawatan ahli herba, urutan atau terapi aroma, atau rawatan alternatif lain.
   
15. Penjagaan atau rawatan di mana bayaran tidak diperlukan atau ianya telah dibayar oleh penginsurans/takaful lain atau gantirugi melindungi peserta dan penyakit akibat tugas atau pekerjaan telah dilindungi di bawah kontrak insurans pampasan pekerja.
   
16. Psikotik, gangguan mental atau jiwa (termasuk sebarang kemurungan dan manifestasi fisiologi atau psikosomatik daripadanya).
   
17. Kos dan perbelanjaan untuk perkhidmatan bukan berbentuk perubatan seperti televisyen, telefon, perkhidmatan teleks, radio atau kemudahan seumpamanya, kit/pek kemasukan dan lain-lain barangan bukan perubatan yang tidak dilayakkan.
   
18. Penyakit atau kecederaan akibat sebarang perlumbaan (kecuali perlumbaan menggunakan kaki), sukan merbahaya seperti tetapi tidak terhad kepada terjunan udara, luncur air, aktiviti bawah air yang memerlukan peralatan pernafasan, sukan musim sejuk, sukan profesional dan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
   
19. Penerbangan persendirian selain daripada sebagai penumpang berbayar di dalam sebarang syarikat penerbangan berjadual komersil yang dilesenkan untuk membawa penumpang mengikut laluan yang ditetapkan.
   
20. Perbelanjaan yang ditanggung untuk pertukaran jantina.
   
21. Lain-lain sebab yang dilarang oleh Shariah.

Perhatian : Ini adalah untuk penerangan sahaja dan bukan sebahagian daripada Perjanjian Takaful.
Untuk keterangan lanjut mengenai perlindungan Takaful ini sila rujuk kepada Perjanjian Takaful.
-------------------------------------------------------------------------------------------
@ 2011 MEDICARE ASSISTANCE SDN BHD. Hakcipta Terpelihara.

Halaman Terbaik Dengan